Archive for the ‘Usahawan’ Category

Pasaran Jepun boleh ditawan

Monday, March 16th, 2009

Peluang tembusi Jepun

TOKYO 15 Mac - Terdapat banyak peluang bagi pengeksport Malaysia untuk menembusi pasaran Jepun, kata Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Jepun, Yuslinawati Mohd. Yusof.

“Terdapat banyak peluang bagi syarikat Malaysia untuk meneroka terutamanya dalam industri makanan,” katanya.

Jepun hanya mempunyai 40 peratus kecukupan makanan manakala 60 peratus diimport.

Ketika ini Jepun bergantung kepada keluaran makanan dari China tetapi terdapat beberapa isu seperti isu melamin baru-baru ini dan mereka sedang mencari sumber baharu dari negara lain juga, katanya.

“Itulah sebabnya mengapa minggu lepas kami menyertai Foodex 2009, pameran makanan dan minuman terbesar di Jepun,” katanya.

Yuslinawati berkata, Matrade menerima lebih 1,000 pertanyaan semasa pameran tersebut.

“Kami menerima bukan hanya dari Jepun tetapi juga Taiwan dan Korea serta dari negara jiran lain,” katanya.

Sebanyak 14 syarikat Malaysia menyertai pameran tersebut.

Menurut beliau, produk berpotensi yang boleh dipertimbangkan oleh pengeksport Malaysia termasuklah produk berasaskan minyak sawit dan produk kayu.

Yuslinawati menyaran syarikat Malaysia mengeksport produk kayu mereka ke Jepun kerana kerajaan negara itu kini sedang menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah bagi merancakkan industri pembinaan. - BERNAMA

Negara Jepun pengimport utama brang-barang elektronik

Anugerah Usahawan Cemerlang Malaysia ke-8 Ernst & Young

Monday, March 16th, 2009

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Calon-calon kini sedang dicari bagi bertanding untuk meraih anugerah Usahawan Cemerlang Malaysia ke-8 Ernst & Young, satu program tahunan yang mengiktiraf pemilik syarikat berprestasi tinggi yang cemerlang.

“Program anugerah ini diwujudkan bagi mengiktiraf mana-mana individu yang dapat melakukan sesuatu yang berbeza dan membuat pembaharuan ke arah corak keusahawanan era baru,” kata rakan pengurus negara Ernst & Young Malaysia, See Huey Beng.

“Dengan menjadi sebahagian daripada program itu, usahawan Malaysia terdedah kepada ratusan usahawan di seluruh dunia bagi pembelajaran, jalinan rangkaian, inspirasi dan menyediakan mereka dengan peluang mendapat pendedahan, pengiktirafan dan rangkaian yang bernilai,” katanya dalam satu kenyataan isnin.

Anugerah itu terbuka kepada semua permastautin di Malaysia yang memiliki dan menguruskan syarikat berteraskan keusahawanan di Malaysia.

Borang pencalonan boleh dimuat turun di www.ey.com/my atau www.eoy.com.my. Pencalonan akan ditutup pada 30 April, 2009.

Usahawan Islam

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — “Dalam Islam, setiap orang perlu berusaha mencari rezeki dan menjadi mandatori bagi mereka yang berbadan tegap dan sihat mencari jalan bagi menampung keperluan sendiri dan tanggungan mereka.

Ini merupakan satu daripada petikan rencana ‘Satu Pendekatan Islam bagi Keadilan Sosial’ yang dihantar kepada Bernama baru-baru ini oleh Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Nik Mustapha Nik Hassan.

Nik Mustapha menulis bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah mengingatkan umat Islam bahawa apabila mereka diberi tugas, mereka perlu melaksanakan tugas itu sebaik yang mungkin mengikut kemampuan mereka dan untuk mencapai kecemerlangan umat Islam mesti mempunyai kemahiran dan profesionalisme.

Beliau menyebut yang Islam menyeru kepada ‘ummah’ yang berbadan tegap dan sihat supaya menyumbang tenaga mereka kepada ekonomi.

Menurut Nik Mustapha, Nabi Muhammad S.A.W. meminta para majikan supaya menganggap pekerja sebagai anggota keluarga di samping mereka perlu diberi bayaran yang adil.

“Kata-kata ini oleh Nabi dengan jelas memberikan garis panduan bagi hubungan majikan-kakitangan. Hubungan ini perlu berlandaskan keadilan dan kebajikan”.